Uruguay ‘Berpeluh’ Atasi Republik Dominika Di SNBJ
MakanBola
AUF – SELECCION URUGUAYA

Uruguay berjaya menundukkan pasukan kebangsaan Republik Dominika dengan keputusan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat bagi aksi persahabatan.

Pasukan kebangsaan Uruguay menurunkan Cristopher Fiermarin di bahagian penjaga gol dan Marcelo Saracchi menggalas lilitan kapten manakala Luciano Rodriguez mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, Republik Dominika membariskan Xavier Valdez di benteng terakhir manakala Dorny Romero sebagai ayam tambatan pasukan kebangsaan tersebut dan turut dibintangi pemain Villarreal, Santiago Mourino.

Skuad julukan La Celeste dilihat menguasai 15 minit awal perlawanan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang Republik Dominika namun tersasar.

Republik Dominika turut melakukan percubaan berbahaya pada minit ke 28′ namun ketangkasan penjaga gol Uruguay, Cristopher Fiermarin harus diberi pujian.

Memasuki minit ke 35′ kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan meskipun menampilkan aksi yang memukau.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua negara.

Bersambung babak kedua perlawanan, Uruguay telah melakukan 5 pertukaran awal bagi menambah bisa pasukan tersebut.

Uruguay telah memasukkan Santiago Bueno, Rodrigo Zalazar, Federico Vinas, Agustin Alvarez dan Emiliano Martinez.

Sementara itu, La Celeste mengeluarkan Jose Luis, Kevin Amaro, Facundo Torres, Juan Manuel dan Nicolas Marichal.

Pasukan kebangsaan Uruguay dilihat meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol pembukaan aksi.

Uruguay berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 60′ menerusi ledakan cantik dari sebelah kanan oleh pemain Red Bull Bragantino, Ignacio Laquintana.

Republik Dominika mempunyai peluang keemasan untuk meraih gol penyamaan pada minit ke 68′ namun rembatan dalam kotak penalti oleh pemain negara tersebut tersasar.

Memasuki minit ke 75′ aksi kedudukan masih didahului oleh pasukan La Celeste dengan satu gol.

Uruguay tampak menguasai penuh bagi perlawanan persahabatan ini dengan melakukan beberapa percubaan tepat ke arah kubu pasukan kebangsaan Republik Dominika.

Perlawanan tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan kebangsaan Uruguay.

La Celeste bakal meneruskan aksi persahabatan di Malaysia dengan menentang Uzbekistan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Isnin.