Uruguay menutup jelajah aksi persahabatan di Malaysia dengan kemenangan apabila menewaskan Uzbekistan di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Republik Dominica, La Celeste berharap dapat menambah satu lagi kemenangan. Uzbekistan pula memburu kemenangan buat jurulatih baharu mereka dari Itali, Fabio Cannavaro.
Bekas pemain pertahanan Selangor FC, Umarbek Eshmurodov mengetuai benteng The White Wolves. Bek tengah Wolverhampton Wanderers, Santiago Bueno dipilih sebagai kapten Uruguay.
Separuh masa pertama menyaksikan La Celeste berusaha mencari jaringan pendahuluan menerusi gandingan Facundo Torres, Kevin Amaro dan penyerang Real Oviedo, Federico Vinas.
Torres hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke-11. Malangnya, percubaan beliau gagal melepasi menembusi gawang Uzbekistan yang dikawal Abduvohid Nematov.
Lapan minit selepas itu, giliran Vinas pula mencemaskan pertahanan Uzbekistan menerusi percubaan dari luar kotak penalti. Walau bagaimanapun, percubaan beliau hanya melepasi palang.
Kesukaran kedua-dua pasukan memecah kebuntuan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa memasukkan Ignacio Laquintana sebagai pengganti Amaro.
Kemasukan Laquintana memberi impak segerak kepada Uruguay. Pasukan itu akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-51 menerusi Torres.
Sembilan minit kemudian, giliran pemain tengah Atletico de San Luis, Juan Manuel Sanabria pula mencetak nama sebagai penjaring.
Situasi ini mendorong Cannavaro membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat mengekang asakan anak buah Bielsa.
Pemain gantian, Ruslanbek Jiyanov merapatkan jurang buat pasukan Asia Tengah itu pada minit ke-82. Walau bagaimanapun, itu sudah terlambat untuk menghalang kemenangan Uruguay.
Sofascore memilih Vinas sebagai pemain terbaik perlawanan. Penyerang berusia 27 tahun itu mendapat markah 8.0, 0.3 di hadapan Sanabria.
Selepas ini, La Celeste akan menentang Mexico pada 16 November. The White Wolves pula dijangka berdepan Mesir pada 7 November.