Video Jaringan Cantik Richard Chin Bersama Raith Rovers
MakanBola
Raith Rovers FC

Jaringan cantik pemain Harimau Malaya, Richard Chin terus menjadi sebutan kelabnya, Raith Rovers.

Ini selepas kelab Scottish Championship itu memuat naik video jaringan bekas pemain Charlton Athletic itu ketika menentang Arbroath baru-baru ini.

Richard yang menerima hantaran rakan sepasukan, Dylan Easton tenang menewaskan penjaga gol pelawat, Aidan McAdams pada separuh masa kedua.

“Chinaldo. Tonton ulangan (video gol Richard) untuk sepanjang hari ini,” kata kelab dalam satu hantaran di X.

Sebaik saja video tersebut dinaikkan, ramai memuji kualiti penyudah yang dipamerkan Richard dalam perlawanan tersebut.

Seorang penyokong bernama Ken menyifatkan penyudah bekas pemain Farnborough FC itu sebagai berkualiti. “Penyudah yang sempurna,” katanya di X.

Seorang lagi penyokong bernama Mic Mac pula teruja melihat pemain-pemain Raith Rovers meraikan jaringan sulung Richard musim ini. “Reaksi para pemain saja sudah cukup untuk anda tahu,” ujarnya.

Selepas perlawanan, Richard mengakui teruja kerana dapat membuka akaun jaringannya musim ini. “Satu perasaan yang hebat untuk mendapatkan gol pertama (bersama Raith Rovers)!” katanya.

Aksi tersebut berkesudahan dengan kemenangan 3-0 buat The Rovers. Selain Richard, Paul Hanlon dan Jack Hamilton turut mencetak nama sebagai penjaring.