Vietnam Dibelasah Thep Xanh Nam Dinh
MakanBola
Thep Xanh Nam Dinh FC

Vietnam terpaksa menelan kepahitan apabila dibelasah juara V. League 1, Thep Xanh Nam Dinh dalam aksi persahabatan yang berlangsung pada 4 September lalu.

Aksi ini merupakan sebahagian daripada persiapan Pahlawan Bintang Emas untuk menghadapi kelayakan Piala Asia 2027 yang bersambung pada Oktober.

Aksi ini turut menyaksikan tiada kelibat jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik. Ini kerana beliau fokus membantu skuad Vietnam B-23 menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 2026.

Pahlawan Bintang Emas tetap menurunkan barisan terkuat bagi menghadapi cabaran Nam Dinh. Nam Dinh pula menurunkan 11 tonggak import termasuk penyerang tinggi lampai, Kyle Hudlin.

Juara V. League 1 musim 2024/25 itu menunjukkan kehebatan mereka apabila meledakkan empat gol. Hudlin yang pernah mewakili Huddersfield Town meledakkan dua gol.

Bekas penyerang Bangkok United, Mahmoud Eid dan pemain tengah Brazil, Romulo masing-masing menyumbat satu gol.

Vietnam berharap dapat bangkit menjelang aksi persahabatan seterusnya menentang Cong An Ha Noi FC (CAHN) pada 7 September.