Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) dilaporkan telah menghantar aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).
Baru-baru ini, persoalan besar telah pun timbul ketika sesi undian bagi Kejuaraan Futsal ASEAN B-19 yang dihoskan oleh Persatuan Bolasepak Thailand (FAT).
Isu bermula selepas pihak penganjur (Thailand) telah tersalah meletakkan bendera Vietnam dengan menggunakan bendera China.
Sesi undian yang berjalan secara langsung selama kira-kira 11 minit itu meraih perhatian ramai sebelum pihak FAT kembali memadam hantaran video tersebut.
Perkara ini jelas meraih perhatian VFF yang dilaporkan telah menghantar aduan rasmi kepada AFF dan FAT.
“VFF membantah dan meminta penjelasan tentang kesalahan bendera Vietnam yang berlaku pada majlis undian tersebut.
“Perkara ini telah menjejakskan imej VFF dan kesatuan komuniti ASEAN,” jelas kenyataan VFF.
Namun begitu, AFF dan FAT telah pun menghantar permohonan maaf kepada VFF atas insiden tersebut menerusi kenyataan oleh Presiden FAT, Madame Pang.
“Ini tidaklah mencerminkan rasa hormat FAT kepada ahli persatuan dan juga simbol kebangsaan.
“Kami ingin menegaskan bahawa pihak FAT sentiasa mengekalkan standard profesionalisme yang tinggi dan menghormati acara AFF yang dihoskan oleh FAT,” kata Madame Pang.
Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN bakal berlangsung pada 23 hingga 29 Disember 2025 di Nonthaburi, Thailand dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Myanmar dan Kemboja.