Vietnam Harapkan Gol Sendiri Kalahkan Nepal
MakanBola
ANFA

Vietnam terus berusaha mengejar Malaysia apabila meraih kemenangan 1-0 ke atas Nepal di Stadium Thong Nhat.

Vietnam perlu menang sekiranya mahu memberi tekanan kepada Harimau Malaya selaku pendahulu Kumpulan F. Nepal pula berharap dapat meraih kemenangan pertama di peringkat kumpulan.

Rohit Chand mengetuai jentera tengah Nepal. Nguyen Tien Linh pula menjadi sandaran gol Vietnam.

Separuh masa pertama menyaksikan Pahlawan Bintang Emas meraih gol menerusi gol sendiri bek tengah Nepal, Suman Shrestha.

Bek tengah Odi SC itu bernasib malang apabila beliau tertampan bola melepasi penjaga gol, Kiran Chemjong.

Vietnam berusaha mendapatkan gol tambahan menerusi gandingan Tien Linh, Nguyen Van Vi dan Nguyen Than Nhan.

Malangnya, kecekapan Chemjong memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik membuat beberapa pertukaran pemain dengan tujuan menambah ketajaman jentera serangan.

Ini termasuk Nguyen Hai Long dan Nguyen Dinh Bac yang masuk menggantikan Van Vi dan Than Nhan di bahagian sayap.

Pertukaran tersebut masih gagal membantu Vietnam merobek gawang yang terus dikawal rapi Chemjong. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Vietnam kekal di tempat kedua Kumpulan F dengan sembilan mata, tiga mata di belakang Harimau Malaya. Nepal terus kekal di tangga keempat tanpa sebarang mata.

Selepas ini, Nepal akan menentang Malaysia pada 18 November. Vietnam akan menentang Laos pula sehari selepas itu.