Vietnam Pintas Kedudukan Skuad Muda Malaysia
MakanBola
FA Malaysia

Kedudukan teratas milik Malaysia sebelum ini telah diambil alih oleh Vietnam dalam carta kumpulan C Kelayakan Piala Asia B-17 2026.

Malaysia B-16 kendalian Javier Jorda membuka kempen Kelayaka Piala Asia B-17 dengan langkah kanan selepas membelasah Kepulauan Mariana Utara 13-0 pada Sabtu lalu.

Kemenangan itu meletakkan pasukan muda negara di tangga teratas kumpulan C, berkongsi 3 mata bersama Vietnam dan Hong Kong yang masing-masing turut melakar kemenangan.

Perlawanan kedua kumpulan pada Isnin pula menyaksikan Malaysia B-16 turun menentang Hong Kong pada sebelah petang dan kemenangan tipis 1-0 memihak Harimau Muda.

Jaringan tunggal Iman Danish pada minit ke-65 memberikan 3 mata buat Malaysia tatkala Hong Kong pula terpaksa akur gagal meneruskan rentak kemenangan seperti aksi pertama lalu.

Manakala, satu lagi pencabar iaitu Vietnam pula membelasah Kepulauan Mariana Utara 14-0 di sebelah malam untuk tuan rumah pusingan kelayakan ini memintas kedudukan Malaysia.

Carta kedudukan kumpulan C kini menyaksikan Vietnam di tangga teratas, berkongsi 6 mata bersama Malaysia namun Golden Star Warrior itu memiliki kelebihan dari segi jumlah jaringan.

Tempat ke-3 pula dihuni oleh Hong Kong sementara Macau dan Singapura masing-masing mengumpul satu mata untuk berada di tangga ke-4 dan ke-5 diikuti Kepulauan Mariana Utara.

Perlawanan ke-3 kumpulan bakal berlangsung pada Rabu, 26 November dengan Malaysia bertemu Macau manakala Vietnam pula turun menentang Hong Kong dan Singapura berdepan Kepulauan Marianan Utara pada petang.