Pengendali Vietnam, Kim Sang-sik yakin dapat merealisasikan sasaran pasukan itu layak ke final ASEAN Championship 2024.
Harapan tersebut dinyatakan beliau apabila ditemu bual portal Vietnam, Tuoi Tre Online baru-baru ini.
Berdasarkan empat edisi ASEAN Championship yang lalu, Vietnam telah layak ke final sebanyak dua kali. Ini termasuk kejayaan bergelar juara pada edisi 2018 dengan menewaskan Malaysia 3-2 secara agregat.
Hajat pasukan itu mengulangi kejayaan berkenaan untuk edisi 2022 gagal apabila tewas 1-0 kepada jaguh Asia Tenggara, Thailand. Gol tunggal Theerathon Bunmathan sudah cukup membantu Thailand bergelar juara buat kali ketujuh.
Meskipun menyedari cabaran edisi 2024 kali ini lebih mencabar terutama dengan kehadiran tonggak pemain naturalisasi, Sang-sik percaya sasaran tersebut mampu dicapai.
“Saya harap penyokong Vietnam dapat berkongsi fikiran saya dan menyokong pasukan. Galakan daripada semua pihak sentiasa sumber motivasi yang hebat buat saya dan para pemain.
“Tidak lama lagi, kem latihan di Korea bakal membantu pasukan melengkapkan persediaan terbaik sebelum menghadapi kejohanan. Saya yakin dapat memenuhi sasaran saya untuk membawa pasukan Vietnam ke final ASEAN Cup 2024,” katanya.
Vietnam bakal bertolak ke Korea Selatan pada November ini untuk kem latihan di sana. Ini merupakan persediaan pasukan itu sebelum saingan ASEAN Championship 2024 membuka tirainya pada 8 Disember ini.
Sang-sik memaklumkan antara tujuan kem tersebut ialah memantapkan aspek kecergasan dan semangat kekitaan antara pasukan. Selain kem latihan, Vietnam juga bakal mengadakan beberapa aksi persahabatan dengan kelab-kelab di Korea Selatan.