Pemain kacukan Amerika-Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal memberikan sinar baharu buat Harimau Malaya.
Tonggak berusia 27 tahun itu mengukuhkan tempat dalam kancah MLS Next Pro musim 2025-26 bersama kelabnya, St Louis City 2.
Pemain tengah versatil ini menjadi sandaran utama ketua jurulatih, David Critchley yang memberikan kepercayaan penuh buatnya untuk menjadi watak utama pasukan.
Kuzain yang pulih sepenuhnya daripada kecederaan panjang pada Mac 2025 kini berjaya merekodkan 25 penampilan secara keseluruhan musim ini.
Bukan itu sahaja, beliau telah diturunkan sebanyak 20 kali dalam kesebelasan utama – merekodkan 1772 minit selain mencatat 7.15 mata secara purata bagi setiap perlawanan di laman Sofascore.
Penilaian ini termasuklah aksi cemerlang dalam tiga aksi menentang Ventura Country (8.7), Austin FC ll (8.3) dan juga Portland Timbers 2 (7.7).
Prestasi memberangsangkan ini telah membuka mata ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski apabila berada dalam Senarai Bersedia pasukan kebangsaan sebanyak dua kali.
Kali terakhir Kuzain tersenarai adalah pada kem latihan pusat Oktober ketika Malaysia menewaskan Laos pada aksi ketiga dan keempat Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Malaysia bakal berdepan cabaran Nepal kendalian Matt Ross bagi aksi kelima kumpulan pada 18 November 2025 jam 9.00 malam di Stadium Nasional, Bukit Jalil.