Nasib berbeza dialami oleh dua pemain warisan Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal dan juga Rodrigo Holgado.
Kuzain yang kini beraksi di MLS Next Pro terus menjadi sandaran utama skuad bimbingan David Critchley yang kini menduduki tangga teratas liga.
Pemain berusia 25 tahun ini mempamerkan persembahan cemerlang dalam 9 aksi terakhir setelah kembali beraksi susulan kecederaan panjang yang dialami sebelum ini.
Beliau merekodkan penilaian 7.9 oleh laman Sofascore ketika St Louis City 2 mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Austin FC ll selain merekodkan satu gol dan satu bantuan jaringan.
Pada musim ini, Kuzain telah diturunkan sebanyak 13 perlawanan dan memulakan 8 daripadanya dalam kesebelasan utama – mencatat 766 minit secara keseluruhan selain beraksi pada posisi berbeza selaku pemain tengah bertahan, pemain tengah dan juga pemain sayap.
Situasi berbeza dialami oleh penyerang baharu Malaysia, Rodrigo Holgado sejak beberapa perlawanan terakhir musim ini.
Selepas tampil cemerlang pada aksi debut menentang Vietnam di Bukit Jalil, penyerang berusia 29 tahun itu lebih banyak beraksi selaku pemain gantian.
Tonggak berbisa Harimau Malaya itu tampil selaku pemain gantian ketika CD America mengikat Bahia namun kini mengharungi 11 perlawanan tanpa jaringan.
Kali terakhir Holgado menjaringkan gol adalah aksi menentang Deportivo Cali pada akhir April lalu namun beraksi cemerlang pada permulaan musim menerusi 7 jaringan dalam 19 perlawanan.
Bekas pemain Gimnasia ini menjadi salah seorang daripada lima pemain warisan baharu Harimau Malaya termasuklah Jon Irazabal, Facundo Garces, Imanol Machuca dan juga Joao Figueiredo.
Kuzain ketika ini masih belum membuat sebarang penampilan bersama pasukan kebangsaan tatkala Holgado dijangka terus menjadi sandaran utama ketua jurulatih, Peter Cklamovski.