Wrexham ‘Sambar’ Orang Besi New Zealand
MakanBola
FA Malaysia

Pemain pertahanan New Zealand, Liberato Cacace menjadi pemain ketiga menyertai Wrexham.

Perpindahan itu disahkan pengurusan pendatang baru Liga Kejohanan itu menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.

“Dakwat sudah kering dan airnya sudah sejuk. Ucapkan hello kepada Liberato Cacace,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Meskipun yuran perpindahan beliau dari Empoli tidak didedahkan, perpindahan ini dijangka menjadi perpindahan termahal Wrexham.

Ini kerana rekod perpindahan termahal The Red Dragons sebelum ini dipegang oleh Sam Smith pada Januari 2025. Wrexham membayar £1 juta (RM5.7 juta) kepada Reading untuk mendapatkan Smith.

Sebaik menyertai kelab tersebut, kapten All Whites itu mengakui teruja dapat melengkapkan perpindahan ke Racecource Ground.

“Saya gembira dapat menyertai kelab bersejarah ini dan saya tak sabar untuk membuka lembaran baru dalam karier saya,” katanya dalam satu kenyataan.

“Melihat dari luar, apa yang mereka hasilkan di sini ialah sesuatu yang saya mahu menjadi sebahagian daripadanya. Keluarga yang mereka ada di sini – semua orang di kelab amat rapat dan itu menarik perhatian saya.

“Saya ada menerima panggilan telefon daripada pengurus (Phil Parkinson) dan selepas itu, saya mahu menyertai kelab.”

Cacace menjadi pemain ketiga baharu Wrexham selepas bekas penyerang Plymouth Argyle, Ryan Hardie dan bekas penjaga gol Leicester City, Danny Ward.

Pemain pertahanan berusia 24 tahun ini sudah merekodkan 35 penampilan di peringkat antarabangsa. Ini termasuk aksi persahabatan dengan Harimau Malaya pada Oktober 2024.

Perlawanan tersebut menyaksikan Cacace diberi lilitan kapten oleh jurulatih, Darren Bazeley. Beliau memimpin New Zealand menewaskan Malaysia 4-0 di Stadium North Harbour.