Xisco Munoz Akui Kualiti Suphanat Mueanta
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui kualiti penyerang Buriram United, Suphanat Mueanta mengakibatkan pasukan itu tewas di Stadium Buriram.

Aksi pertama ACLE menemukan JDT dan Buriram buat kali kelima dalam sejarah kejohanan. Pada awalnya, pelawat mendahului menerusi bek tengah, Antonio Glauder.

Walau bagaimanapun, tuan rumah meraih kemenangan pada akhir perlawanan menerusi Suphanat. Selepas menjaringkan gol penyamaan, bekas penyerang OH Leuven itu membuat hantaran yang disudahkan Robert Zulj.

Munoz mengakui kualiti yang dimiliki penyerang berusia 22 tahun itu menyebabkan JDT terlepas peluang meraih mata di bumi Thailand.

“Kita ada bercakap tempoh hari (tentang Suphanat). Kita tidak boleh beri peluang dalam kotak penalti dengan penyerang berkualiti sebegitu.

“Ini kerana beliau akan mencipta peluang kepada penyerang lain untuk menjaringkan gol. Kadang-kadang benda kecil sebegini boleh mengubah permainan,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

JDT berharap dapat bangkit menjelang aksi menentang Sabah FC pada 21 September ini.