Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui bukan mudah buat pasukan itu memenangi Piala FA.
Bekas jurulatih Watford itu meraih trofi kedua bersama JDT apabila pasukan itu menewaskan Sabah FC 5-0 di pentas final.
Jonathan Silva, Jairo da Silva, Oscar Arribas, Manuel Hidalgo dan gol sendiri Rawilson Batuil memberi kelebihan buat JDT.
Sabah juga dipaksa beraksi dengan 10 pemain. Ini selepas pemain import Sepanyol, Cifu diarah keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua.
Munoz menyifatkan kejayaan bergelar juara Piala FA ini sangat penting tetapi pada masa sama, bukan mudah.
Ini kerana pada hematnya, bukan mudah buat pasukan yang dominan seperti JDT meraih trofi.
“(Sangat penting) buat semua orang. Bukan mudah (menangi Piala FA),” katanya selepas perlawanan.
“Bukan mudah untuk mendominasi seperti JDT di Malaysia. Saya bekerja di banyak negara berbeza dan sekarang, JDT satu pasukan yang hebat.”
Ini trofi ketiga Munoz dalam kariernya. Selain dua trofi bersama JDT, beliau turut meraih trofi kejuaraan liga bersama Dinamo Tbilisi pada 2020.