Xisco Munoz: Pemain JDT Sedikit Penat
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui anak buahnya sedikit kepenatan selepas mengharungi banyak perlawanan.

Hal ini dinyatakan pengendali Sepanyol itu apabila ditanya tentang persembahan pemain Harimau Selatan dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Kuching City FC.

Munoz mengakui meskipun barisan pemain JDT merasa sedikit penat, itu bukan halangan buat pasukan itu meraih kemenangan berharga di Kuching.

“Saya fikir para pemain sedikit penat selepas (mengharungi) banyak perlawanan pada bulan Oktober. Ini kerana kita memiliki banyak aksi (yang perlu dilengkapkan).

“Kita lihat mereka ada intensiti dalam sesetengah detik permainan dan kita boleh lihat situasinya, itu perkara paling penting. Kita tahu bila kita datang ke sini, ia satu perlawanan yang sukar.

“Dan perlawanan hari ini juga sukar. Perkara paling penting ialah kita memiliki kelebihan satu gol (untuk dibawa ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI),” katanya selepas perlawanan.

Dua gol Bergson da Silva memastikan JDT ceria di Kuching. The Cats membalas menerusi bekas pemain tengah Terengganu FC, Petrus Shitembi.

JDT berharap dapat mempertahankan kelebihan satu gol dalam aksi timbal balik di SSI pada penghujung November ini.