Penyerang berbisa Vietnam, Nguyen Xuan Son memberi amaran awal kepada Laos bahawa beliau kini cergas sepenuhnya.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang status kecergasan terbarunya ketika menyertai kem Vietnam.
Pemilik nama sebenar Rafaelson Bezerra Fernandes itu memaklumkan beliau sudah bersedia memberikan yang terbaik demi Pahlawan Bintang Emas.
“Saya sudah pulih sepenuhnya, mencapai tahap fizikal 100% dan sudah bersedia untuk bersaing dengan intensiti yang paling tinggi.
“Tiada apa yang perlu dirisaukan, saya akan berikan yang terbaik setiap kali saya diberi peluang (beraksi),” katanya seperti dilaporkan ZNews.
Xuan Son turut mengakui merasa terharu apabila dapat kembali menyertai kem latihan Vietnam buat kali pertama dalam tempoh hampir setahun.
“Hari ini hari paling istimewa buat saya sejak mengalami kecederaan (serius pada Januari lalu). Saya sentiasa bangga dan melihat ini sebagai penghormatan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Vietnam.
“Saya gembira kembali bersama pasukan, melihat wajah-wajah yang biasa dilihat dari rakan-rakan sepasukan hinggalah staf kejurulatihan.
“Keluarga saya juga merasa bangga kerana saya memiliki peluang untuk menyumbang kepada skuad kebangsaan sekali lagi,” ujarnya.
Penyerang berusia 28 tahun itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutama penyokong yang menyokong beliau sepanjang tempoh pemulihan.
Xuan Son berpeluang diturunkan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada 18 November ini.