Xuan Son Sihat Lebih Awal, Bersedia Hadapi Harimau Malaya
MakanBola
Thep Xanh Nam Dinh FC

Kelibat Nguyen Xuan Son dijangka memperkuat cabaran Vietnam untuk aksi antarabangsa pada November ini.

VNExpress melaporkan jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik berkira-kira untuk memanggil penyerang berdarah Brazil itu untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Ini berdasarkan surat panggilan rasmi Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) yang dihantar kepada kelab beliau, Thep Xanh Nam Dinh. Selain Xuan Son, Sang-sik turut memanggil Nguyen Van Vi.

Semua pemain yang dipanggil akan menyertai selepas tamat aksi V. League 1 pada 10 November. Kesemua pemain akan menjalani pemeriksaan perubatan bagi memastikan mereka benar-benar cergas.

Sebelum ini, Xuan Son berehat lama akibat kecederaan patah tulang tibia dan fibula pada kaki kanannya. Kecederaan ini dialami ketika aksi final ASEAN Championship 2024.

Beliau membuat penampilan pertama dalam aksi latihan antara Nam Dinh dan PVF-CAND Youth pada 11 Oktober lalu.

Kecederaan serius yang dialami Xuan Son menyebabkan beliau terlepas separuh pertama musim V. League 1. Ini kerana namanya tidak didaftarkan dalam pasukan yang bersaing dalam liga.

Namun begitu, Nam Dinh tidak berdepan masalah untuk menurunkannya dalam beberapa kejohanan lain termasuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Ini dilihat satu khabar baik buat Vietnam dan Xuan Son. Ini kerana penyerang berdarah Brazil itu ingin beraksi dalam aksi terakhir Kumpulan F menentang Harimau Malaya pada Mac tahun hadapan.

Vietnam dijadual bertemu Laos di Vientiane pada 18 November ini.