Bekas pemain import Selangor FC, Yohandry Orozco sedang menikmati musim yang cemerlang bersama kelab baharunya di Venezuela selain turut berada dalam kelompok penjaring terbanyak di sana.
Khidmat Yohandry Orozco tak lagi diperlukan oleh Selangor pada musim ini selepas kelab Gergasi Merah itu mengambil keputusan untuk melepaskan perancang tengah itu Mei lalu.
Sebaik meninggalkan Selangor, Orozco memilih untuk pulang ke Venezuela dan menyarung jersi Carabobo FC yang beraksi dalam saingan divisyen utama, Liga FUTVE Clausura pada 23 Julai lalu.
Impak segera mula dipamerkan oleh Yohandry Orozco ketika mana perancang berusia 34 tahun itu mula menjaringkan gol sulung dalam aksi debut bersama Carabobo sehari selepas diperkenalkan.
Semenjak itu, Orozco yang juga bekas tonggak kebangsaan Venezuela terus mencetak gol sehingga berjaya mengumpul 6 gol dan satu bantuan jaringan dalam 9 perlawanan setakat ini.
Statistik ini juga meletakkan nama Orozco di kedudukan ke-3 penjaring terbanyak Liga FUTVE Clausura dengan 6 jaringan, bersama dua lagi penyerang iaitu Jose Ali Meza beserta Aitor Lopez.
Untuk rekod, Orozco beraksi selama dua musim di Selangor dengan mengumpul 20 jaringan secara keseluruhan selain 22 bantuan gol yang berjaya dilakukan dalam 64 penampilan.