Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi enggan mengulas komen yang dibuat pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski.
Sebelum ini, jurulatih Australia itu memilih mengeluarkan kenyataan yang mempertahankan jasa DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terhadap bola sepak negara.
Cklamovski turut menyatakan kekecewaan apabila isu kesilapan pentadbiran badan induk itu menyebabkan skuad negara tidak dapat menggunakan khidmat tujuh pemain warisan negara.
Apabila diminta mengulas komen bekas jurulatih FC Tokyo itu, Yusoff memilih untuk tidak mengulas kenyataan Cklamovski.
“Saya fikir kita patut melupakan kenyataan dia pasal FAM itu. Yang penting sekarang, saya nak mengucapkan tahniah kepada Peter kerana dapat menundukkan Laos 3-0 semalam.
“Saya fikir buat masa sekarang, lebih baik Peter sendiri fokus kepada perlawanan kedua iaitu aksi timbal balik ini (di Stadium Nasional Bukit Jalil),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Malaysia meraih kemenangan 3-0 ke atas Laos menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi, Dion Cools dan Faisal Halim.
Selepas ini, Harimau Malaya akan menentang Laos untuk aksi keempat Kumpulan F pada 14 Oktober ini.