Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi enggan mengulas spekulasi yang mengatakan beliau bakal mengemudi badan induk itu.
Spekulasi tentang perubahan pucuk pimpinan FAM timbul apabila akan ada perubahan dari segi kepimpinan badan induk itu dalam masa terdekat.
Khabar tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom baru-baru ini. Fina turut menyatakan Yusoff dilaporkan bersiap sedia menggalas tugas sebagai Pemangku Presiden FAM.
“Difahamkan bakal berlaku perubahan di pucuk pimpinan FAM dalam masa terdekat.
“Sementara Kelana Jaya sedang menunggu wajah baru, Datuk Yusof Mahadi dalam bentuk siap sedia (sebagai) Pemangku Presiden?” katanya di X.
Apabila wartawan Astro Arena, Kamal Nizam cuba mendapatkan maklum balas beliau, Yusoff enggan mengulas tentang spekulasi berkenaan.
Sebaliknya, beliau berharap dapat berjumpa media pada minggu hadapan untuk berkongsi perkembangan terkini tentang skuad kebangsaan.
“Kita jumpa minggu depan. Kita cakap pasal skuad kebangsaan,” katanya sebelum beredar.
Yusoff ditemui selepas majlis pembaharuan kerjasama di antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan 100PLUS di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 20 Ogos lalu.