Datuk Wira Yusoff Mahadi menggalas tugas sebagai pemangku Presiden FAM serta merta selepas perletakkan jawatan Presiden Bola Sepak Malaysia, Datuk Mohd Joehari Ayub.
Keputusan perletakkan jawatan tersebut telah disahkan oleh FAM menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka. Pengumuman tersebut sekaligus menutup spekulasi yang beredar dalam industri bola sepak Malaysia minggu ini.
Setakat ini, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi akan menggalas tanggungjawab sebagai pemangku Presiden FAM sehingga presiden baharu dilantik bagi kongres akan datang.
Artikel 42 Perenggan Tujuh dalam Statut FAM menyatakan jika jawatan presiden kosong, Timbalan Presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga kongres seterusnya iaitu tahun hadapan.
Kongres tersebut kemudiannya memilih presiden baharu FAM untuk baki tempoh penggal jawatan.
Menurut Zulhelmi Zainal Azam, tiada kongres luar biasa diadakan pada hari ini berikutan perletakkan jawatan Presiden FAM dan hanya disahkan bahawa Datuk Wira Yusoff Mahadi menggalas tugas sebagai pemangku Presiden FAM sehingga kongres berikutnya.
“Tiada kongres luar biasa, Datuk Wira Yusoff Mahadi jadi Pemangku Presiden FAM sehingga kongres seterusnya tahun depan,” kata Zulhelmi Zainal Azam di satu hantaran media sosial X pada Rabu.
Ini bukan kali pertama Presiden FAM mengundur diri sebelum tamat penggal. Sebelum ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut meletak jawatan sebagai presiden pada 2016.
Pada awalnya, peletakan jawatan baginda ditolak oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM. Pada akhirnya, pihak jawatankuasa akur dengan keputusan Al-Sultan Abdullah.