Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi enggan mengulas lanjut tentang spekulasi yang tular mengenai skuad Harimau Malaya.
Timbul khabar angin mendakwa Malaysia bakal dihukum oleh pula Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas menurunkan pemain warisan yang tidak layak ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Dakwaan tersebut tular mengatakan Malaysia akan ditolak 6 mata selain dianggap tewas 3-0 kepada Nepal dan Vietnam selepas menurunkan pemain-pemain itu ketika aksi terbabit.
Menurut beliau, spekulasi yang timbul itu sekadar andaian orang ramai semata-mata sedangkan pihak AFC memberi jaminan akan menanti keputusan CAS sebelum mengambil tindakan.
“Itu hanyalah jangkaan orang ramai (pemotongan mata dan denda AFC).”
“AFC juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menunggu keputusan CAS sebelum mengambil sebarang tindakan sewajarnya,” ulas Datuk Wira Yusoff Mahadi seperti dilaporkan oleh Stadium Astro.
Tanggapan tersebut ditepis oleh beliau dengan menjelaskan bahawa andaian orang ramai tercetus susulan keputusan FIFA baru-baru ini yang membuatkan mereka menjangkakan situasi sama akan berulang.
“Andaian orang ramai kerana keputusan FIFA (baru-baru ini) mengisytiharkan kekalahan 3-0 bagi tiga aksi persahabatan. Jadi, orang ramai menganggap perkara sama akan berlaku.”
Beliau ditemui di salah sebuah balai polis di Lembah Klang bagi membuat laporan berhubung isu pemalsuan dokumen pemain warisan negara seperti yang disyorkan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC).