Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi tampil memberi penjelasan tentang gambar Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Haji Rahman dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Gambar dua figura itu menjadi bualan ramai peminat bola sepak tanah air apabila ia disiarkan di sebuah portal media tempatan.
Ini disebabkan Noor Azman ketika ini digantung oleh FAM susulan isu hukuman FIFA ke atas badan induk itu dan tujuh pemain warisan negara.
Isu tersebut turut membawa kepada pembentukan jawatankuasa bebas yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.
Justeru, kehadiran beliau dalam majlis anjuran FAM dan FIFA seperti dalam gambar tersebut mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong.
Lantaran itu, Yusoff menjelaskan Noor Azman hadir atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili atau membawa sebarang urusan rasmi FAM.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil maklum laporan yang disiarkan oleh portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini berhubung penyiaran gambar melibatkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bersama Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
“Untuk makluman, gambar tersebut dirakamkan di luar acara atau majlis rasmi FAM mahupun FIFA dan kehadiran Datuk Noor Azman atas kapasiti peribadi beliau dan tidak mewakili atau membawa sebarang urusan rasmi FAM,” katanya dalam satu kenyataan.
Yusoff turut menegaskan Noor Azman masih lagi digantung oleh badan induk itu dan tidak terlibat dalam semua aktiviti FAM.
“FAM ingin menegaskan bahawa sejak dikenakan hukuman penggantungan tugas pada 17 Oktober 2025, Datuk Noor Azman tidak terlibat dalam sebarang aktiviti, mesyuarat atau program rasmi FAM,” ujarnya.
Tugas Setiausaha Agung FAM kini dipangku Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram.