Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi bersyukur dengan pencapaian pingat gangsa yang dilakar skuad Malaysia B-23 di pentas Sukan SEA 2025.
Yusoff mengakui dengan skuad yang dibawa Nafuzi Zain, pasukan itu mampu mencabar lebih daripada pingat gangsa.
Pada masa sama, beliau faham dengan pelbagai kekangan yang dihadapi Malaysia B-23. Justeru, pada hemat Yusoff, pingat gangsa satu pencapaian bagus buat skuad muda negara.
“Rasanya pada saya, patutnya kita boleh dapat lebih baik daripada pingat gangsa. Tetapi apa pun, kita bersyukur dalam keadaan pemain yang banyak tak dapat bersama.
“Kita faham kekangan yang dilalui oleh Coach Nafuzi. Kalau ikut kepada kekangan-kekangan itu, pingat gangsa kita itulah yang terbaik, kita boleh kata syukur alhamdulillah,” katanya.
Yusoff berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini.
Malaysia B-23 meraih pingat gangsa dengan menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi penentuan pingat itu pada 18 Disember lalu.
Penyerang KL City FC, Haqimi Azim Rosli muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat Harimau Muda pada separuh masa pertama.