Yusri Che Lah Anggap Indonesia Pencabar Hebat Malaysia B-23
MakanBola
Perak FC

Bekas jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah melihat Indonesia sebagai pencabar Malaysia B-23 dalam saingan Piala Mandiri ASEAN B-23.

Pandangan itu dibuat beliau apabila ditanya tentang cabaran yang akan dihadapi anak buah Nafuzi Zain dalam kejohanan itu.

Malaysia B-23 berada dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Brunei dan Filipina. Menariknya, aksi terakhir kumpulan bakal menemukan kedua-dua pasukan pada 21 Julai ini.

Yusri melihat skuad negara perlu menunjukkan persembahan terbaik sekiranya mahu mengulangi pencapaian empat pasukan terbaik yang diraih dalam edisi sebelumnya.

“Saya rasa Indonesia adalah saingan terbesar kita dalam mana-mana kejohanan. Sudah pasti dalam kejohanan ini, diletakkan dalam satu kumpulan, saya melihat aksi terakhir sebagai penentuan juara dan naib juara kumpulan.

“Mental (pemain) harus kuat. Macam mana nak terima tekanan sebelum, semasa dan selepas pertandingan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Malaysia B-23 mula membuat persiapan bagi menghadapi Piala Mandiri ASEAN B-23. Selepas berjaya menewaskan PDRM FC 1-0, anak buah Nafuzi akan berdepan Melaka FC untuk aksi ujian kedua.