Pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah melihat kemenangan pertama dalam Liga Super sebagai batu asas buat pasukan itu untuk terus mengorak langkah ke depan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kemenangan The Mighty Tigers ke atas Penang FC baru-baru ini.
Penyerang import, Wilmar Jordan Gil meledakkan gol kemenangan buat Imigresen pada minit ke-59. Aksi sama turut menyaksikan Imigresen merekodkan aksi tanpa bolos pertama mereka dalam liga.
Meskipun gembira dengan pencapaian anak buahnya, Yusri melihat Imigresen tidak boleh berhenti di sini. Sebaliknya, mereka perlu terus memburu kemenangan agar dapat kekal dalam liga.
“Hari ini sudah pasti semua yang menggembirakan. Tapi kita tak boleh berhenti di sini.
“Kita ada perjuangan lagi yang harus kita selesaikan lagi selepas rehat FIFA,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Keputusan ini menyaksikan Imigresen menduduki tangga kelapan liga dengan enam mata, lima mata di belakang pasukan ketujuh, Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC).
Selepas ini, The Mighty Tigers akan berdepan PDRM FC pada 23 November ini.