Ketua jurulatih Imigresen FC, Yusri Che Lah menarik nafas lega selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan penambahan kuota tiga pemain tempatan, yang disifatkannya sebagai satu kelegaan besar dalam usaha memantapkan persiapan pasukan menjelang sepak mula Liga Super 2025-2026.
Sebagai sebuah kelab baharu yang bakal membuat penampilan sulung di saingan Liga Super selepas beraksi di Liga A1 Semi Pro, Yusri melihat penambahan ini sebagai peluang penting untuk membentuk sebuah skuad yang lebih kompetitif.
Dengan tambahan ini, beliau mempunyai lebih banyak pilihan untuk mengenal pasti pemain yang benar-benar sesuai bagi mengisi posisi tertentu, sekaligus memperkuatkan pasukan agar mampu bersaing dengan kelab-kelab lain yang mempunyai ramai pemain berpengalaman dalam pembangunan bola sepak.
“Satu perkara yang amat baik apabila MFL bagi peluang untuk tambah 3 lagi kuota pemain tempatan sebab kita sedia maklum, sebagai kelab baharu, kita tiada pemain daripada Piala Presiden dan pemain daripada skuad pembangunan lain.
“Jadi penambahan seperti ini membolehkan saya sendiri untuk memilih dan mengenalpasti pemain yang mana dan di posisi mana yang perlu kita tambah lagi ikut keperluan pasukan.
“Jadi terima kasih kepada pihak MFL kerana mendengar juga keluhan pasukan-pasukan seperti kami yang baru dinaikkan ke Liga Super ini”, jelasnya.
Dengan pertambahan kuota tiga pemain tempatan, setiap kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia 2025-2026 kini dibenarkan mendaftarkan sehingga 33 pemain secara keseluruhan.
Keputusan ini dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas yang diadakan baru-baru ini, selepas meneliti permohonan daripada beberapa kelab – terutamanya pasukan dari Liga A1 Semi-Pro yang baharu dinaik taraf ke Liga Super musim ini.
Menurut Yusri, pasukannya baru memulakan sesi latihan kira-kira dua minggu lalu dan perlu bekerja lebih keras serta bersikap lebih agresif bagi membina keserasian terbaik menjelang sepak mula Liga Malaysia yang akan berlangsung minggu hadapan.
“Baru dua minggu sahaja pasukan bersama dan ini juga kali pertama pemain-pemain import saya menjalani latihan.
“Saya sedar dengan keadaan dan masa yang singkat untuk kami lakukan persiapan berbanding pasukan lain, tapi ini bukan alasan sebaliknya saya harus bijak untuk mengenal pasti pemain terbaik bagi berada dalam kesebelasan utama.
“Tapi sudah tentu, selain pemain tempatan, saya juga tagih kudrat pemain import yang saya ada sebab saya percaya, tanpa mereka juga agak sukar untuk kita menggerakkan pasukan”, katanya.