Ahli Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Seri Dr Yusof Ismail menarik diri daripada pasukan petugas khas suruhanjaya itu berhubung isu FAM dan FIFA.
Perkara ini disahkan EAIC menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka. Langkah ini diambil beliau bagi memastikan integriti siasatan EAIC tidak terjejas.
Ini kerana beliau juga merupakan sebahagian daripada Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) FAM yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif.
“EAIC ingin menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak melibatkan Datuk Seri Dr. Yusof Ismail, Ahli Pesuruhjaya EAIC, dalam pelaksanaan Pasukan Petugas Khas tersebut adalah langkah pentadbiran yang diambil memandangkan beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Khas Siasatan Bebas (Independent Investigation Committee – IIC) FAM.
“Langkah ini diambil bagi memastikan integriti, ketelusan, dan kebebasan EAIC daripada sebarang potensi percanggahan peranan dalam kedua-dua jawatankuasa berkenaan selaras dengan hasrat Datuk Seri Dr. Yusof Ismail sendiri yang telah memilih untuk menarik diri secara sukarela daripada penglibatan dalam Pasukan Petugas Khas EAIC,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan petugas khas EAIC telah memulakan siasatan berhubung isu FAM. Pasukan tersebut juga telah mengadakan mesyuarat pertama pada 11 November lalu.
Siasatan yang dijalankan pasukan petugas khas EAIC akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan. Ini selaras dengan mandat EAIC di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).