Zainal Abidin Dedah Pernah Tolak Tawaran Al-Hilal
MakanBola
Imigresen FC

Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan mendedahkan beliau pernah menolak tawaran kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal.

Anekdot itu dikongsikan beliau semasa menjadi tetamu program Borak Borak Botak baru-baru ini.

Zainal Abidin yang juga Pengarah Teknikal Imigresen II mengakui menerima tawaran gaji lumayan daripada kelab tersebut semasa berusia 21 tahun.

Meskipun begitu, legenda Selangor FC itu menolak tawaran Al-Hilal kerana merasa lebih selesa beraksi di Malaysia.

“Saya pun masa itu umur 20, 21 tahun. Persekitaran bola sepak di negara itu kuranglah. Gaji lumayan tetapi saya lebih selesa bermain di Malaysia,” katanya.

Zainal Abidin turut mendedahkan selain Al-Hilal, kelab dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar juga berminat mendapatkan khidmatnya.

“Bila saya balik, (dapat tawaran) main di Qatar dan UAE. Tinggalkan dua lagi tiket di rumah saya, suruh saya terbang ke sana.

“Tapi saya tak terima. Tak tahu macam mana boleh sampai di rumah dekat Kampung Baru, rumah mak saya.

“Masa itu, saya tiada rumah. Saya tahu dalam sampul surat, ada tiket penerbangan terbuka. Boleh terbang bila-bila masa ke sana,” ujarnya.

Zainal Abidin cukup dikenali sebagai penyerang berbisa sekitar tahun 80-an dan 90-an.

Antara pencapaian terbaik beliau bersama skuad kebangsaan ialah pingat emas Sukan SEA 1989 dan kejuaraan Pestabola Merdeka sebanyak dua kali.