Zainal Abidin Titip Pesan Buat Pemain Malaysia B-23
MakanBola
Malaysia NT

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan sempat menitipkan pesan kepada pemain Malaysia menjelang kejohanan Piala Mandiri B-23 ASEAN di Indonesia.

Pasukan muda Malaysia akan terbang ke Jakarta, Indonesia untuk menghadapi Piala Mandiri B-23 ASEAN 2025 dengan skuad negara akan berdepan cabaran 3 lawan dari kumpulan A.

Anak-anak buah Nafuzi Zain dilihat berada di tahap terbaik ketika ini setelah merekodkan dua kemenangan dalam aksi pemanas badan menentang pasukan Liga Super, PDRM dan Melaka.

Menurut Zainal Abidin, sokongan buat pasukan muda negara kini telah diberikan dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah melihat persiapan baik diatur oleh Nafuzi Zain.

“Memang kita sekarang ni banyak menumpu kepada skuad bawah 23.”

“Alhamdulillah, kita dapat lihat skuad kendalian Nafuzi (Zain) telah menunjukkan mutu permainan yang baik ketika sesi latihan.

“Sekali lagi saya cakap, kita berada di landasan terbaik dan harus dipergunakan dengan baik dengan memberi sokongan buat pemain-pemain muda kita.”

“Kerana mereka mempunyai masa depan yang cerah untuk kebaikan bola sepak negara.”

Tambah beliau, pemain-pemain muda Malaysia yang ada ini memiliki keupayaan untuk membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih baik dan berharap mereka akan terus kuat untuk berjuang.

“Insya-Allah, mereka (pemain Malaysia B-23) mempunyai keupayaan untuk pergi satu tahap yang baik.”

“Insya-Allah. Terus berlawan untuk Harimau Malaya, untuk revolusi yang baru,” pesan bekas pemain Malaysia itu buat pemain-pemain muda negara.

Skuad muda negara bakal memulakan kempen Piala Mandiri B-23 ASEAN menentang Filipina pada 15 Julai hadapan dan akan hadapi Brunei 3 hari kemudian di Stadium Gelora Bung Karno.

Ujian sebenarnya buat pasukan Malaysia B-23 adalah pada aksi terakhir kumpulan A menentang tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai yang dijangka menjadi perlawanan penentuan juara kumpulan.