Pemilik Kelantan FC, Zamsaham memaklumkan beliau tidak pernah dihubungi bekas penolong jurulatih pasukan itu, Pol Corpas.
Penafian itu dibuat susulan tuntutan yang dikemukakan jurulatih berusia 28 tahun itu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.
Susulan itu, Presiden Kelantan RW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan memaklumkan bahawa Corpas tersalah tembak. Beliau turut menegaskan kelab itu tidak sepatutnya dijadikan sasaran.
Lantaran itu, timbul dakwaan bahawa Zamsaham dikatakan telah berhubung dengan Corpas tentang tuntutan beliau.
Hal ini mendorong pemilik nama sebenar Norizam Tukiman itu tampil menafikan beliau dihubungi bekas penganalisis video Lion City Sailors (LCS) itu.
“Saya tidak ada menerima sebarang panggilan dari Pol Corpas. Saya juga tidak tahu-menahu tentang Pol buat laporan ke FIFA,” katanya di Facebook.
Corpas menyertai Kelantan FC sebagai penganalisis video dan jurulatih pada 2020. Beliau berkhidmat bersama kelab Pantai Timur itu selama tiga tahun sebelum meninggalkan kelab pada pertengahan 2023.
Zamsaham turut mendedahkan kisah di sebalik isu penjualan Kelantan FC dan peristiwa yang membawa kepada penubuhan Kelantan RW.