Zaquan Adha Harap Penang Segera Bangkit
MakanBola
Penang FC

Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak berharap pasukan utara tanah air, Penang FC segera bangkit selepas tamat kalendar antarabangsa FIFA.

Pandangan itu dibuat beliau selepas diminta mengulas prestasi kurang memberangsangkan Sang Harimau Kumbang dalam Liga Super.

Selepas mengharungi empat perlawanan liga, anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail hanya meraih satu keputusan seri dan tiga kekalahan.

Lebih pahit, tiga kekalahan itu dialami di Stadium Bandaraya. Ini termasuk kekalahan 1-0 di tangan pasukan Pantai Timur, Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC) baru-baru ini.

Zaquan berharap Penang segera mengatasi kemerosotan prestasi pasukan itu. Ini kerana ini boleh menjejaskan bukan saja moral pemain tetapi juga moral penyokong.

“Saya harapkan kalau boleh (siri kekalahan Penang) tidak berterusan. Selepas ini, Penang harus mencapai kemenangan,” katanya semasa menjadi panel XI – Sebelas Utama.

“Bila setiap perlawanan kita tewas, keyakinan penyokong pun akan berkurangan. Dan kemungkinan bila tiada penyokong, tiada semangat untuk pemain bermain.”

Penang kini menduduki tangga ke-11 liga dengan satu mata. Penang dijadual bertemu juara liga 11 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 11 September ini.

Kehadiran 9 tonggak import termasuk bekas orang besi PDRM FC, Faith Obilor bakal ditagih Wan Rohaimi untuk bangkit dalam liga.